:: Kenali Ciri-Ciri Sifat Mazmunah (Terkeji) ::

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

إِلَى حَضَرَةِ النَّبِّىِّ الْمُصْطَفَى مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعَلَى آلِه وَأَصْحَـبِه وَأَزْوَاجِه وَذُرِّيَّـتِه وَأَهْلِ بَيْتِه أجْمََعِينَ شَيْءٌ للهَ لَهُمُ الْفَاتِحَةْ

 

syukr al-hamduliLLah dgn tertulisnya risalah ini bagi menerangkan tentang perkara2 yg dikeji dan sesetengahnya boleh membawa syirik kita kepada ALLAH SWT, marilah kita sama2 mengenal ciri2 yang dikatakan sifat mazmumah (terkeji) ini.

Bermulanya SIFAT MAZMUNAH ini ada 10 perkara :

1. GEMAR KEPADA MAKAN: Iaitu orang yang membesar-besarkan dalam perkara makan dan minum serta berlebih-lebihan dalam mengambilnya. Manusia yang begini adalah amat buruk kelakuan serta tabiatnya lagi dikutuk ALLAH SWT Oleh kerana selalu memikirkan soal perutnya lalu ia menjadi malas terutama dalam mengerjakan ibadah apatah lagi dalam perkara2 jihad (berkaitan melawan hawa nafsu).

Makan terlalu banyak juga bukan sahaja mengundang berbagai jenis penyakit malah hawa nafsunya juga akan tidak terkawal dan akalnya pula menjadi dangkal.

Orang yang begini mudah marah serta panas baran, bersikap mementingkan dirinya sendiri, kedekut lagi bakhil, tamak haloba, sukakan hiburan, banyak tidur dan banyak memikirkan perkara-perkara yang membangkitkan syahwat, sukakan kepada perkara-perkara pembaziran dan sebagainya.

Maksud sebuah hadith RasuluLLah SAW

“ …yang terlebih afdhal disisi ALLAH SWT iaitu orang yang selalu melaparkan dirinya (berpuasa sunat) dan banyak pula bertafakkur (zikruLLah) manakala ALLAH SWT terlebih benci kepada orang yang membanyakkan makan minum dan membanyakkan pula tidurnya”.

Kadar makan yang harus diambil manusia adalah terbahagi tiga martabat iaitu :

i. Makan dan minum sekadar mendapatkan tenaga untuk lebih beribadah kepada ALLAH SWT semata-mata. Martabat yang sebegini adalah yang paling tinggi dan mulia disisi ALLAH SWT maka itu digelar `As-Siddiqin’.

ii. Makan pada sehari semalam dengan kadar setengah ‘madh’ iaitu setengah daripada seperempat ( ¼ ) gantang fitrah.

iii. Makan pada sehari semalam dengan kadar satu madh iaitu satu daripada seperempat ( ¼ ) gantang fitrah.

Jikalau makan yang melebihi daripada kadar yang tersebut ( 3 martabat ) ini, maka orang ini terkeluar daripada menjalani akan jalan menuju kehadrat ALLAH SWT lagi tercela oleh syarak.

2. MEMBANYAKKAN PERKATAAN: Iaitu orang yang suka berkata-kata kepada perbualan yang sia-sia lagi tidak membawa apa-apa manfaat seperti maksud firman ALLAH Azza Wa Jalla

‘Tiada kebajikan seseorang itu yang membanyakkan perkataannya melainkan kata-kata itu mengajak orang lain supaya bersedekah atau mengajak kepada membuat kebajikan atau pun mendamaikan antara orang yang berkelahi’. Maksud sabda RasuluLLah SAW “…barang siapa yang percayakan ALLAH dan hari pembalasanNya maka hendaklah berkata akan kata-kata yang membawa kebajikan ataupun diam sahaja”.

Daripada nas dan hadith tersebut, ini menunjukkan seseorang itu hanya dibenarkan berkata-kata perkara yang tiada berunsur kemaksiatan ataupun tiada membawa kepada fitnah samada diri sendiri atau orang lain.

Berdiam sahaja adalah suatu tindakan yang paling baik daripada memperkatakan sesuatu yang dikatakan merapu, melalut, temberang dan yang lebih bahaya lagi ialah mengadu domba, berdusta, mengumpat dan memfitnah.

3. MARAH: Orang tidak dapat mengawal kemarahannya kerana sifat yang panas baran yang tidak menentu, seperti maksud sabda Nabi SAW

“…tiada marah seseorang itu melainkan hampir ia dengan api neraka Jahannam”.

Marah itu bersifat api sedangkan syaitan juga dijadikan daripada api oleh itu orang yang dilanda kemarahan adalah dirasuk syaitan. Untuk mengatasi rasa marah orang itu hendaklah berwudhu’ atau pun mandi sahaja sesungguhnya yang dapat memadamkan api ialah air.

4. HASAD: Yang bermaksud dengki dan ia merupakan suatu bentuk kejahatan besar yang sangat diharamkan oleh syarak. Definasi kepada hasad dengki ini ialah seseorang yang tidak suka melihat orang lain mendapat sesuatu nikmat dan suka pula melihat orang itu mendapat binasa.

Orang yang mempunyai hasad ini akan hilang segala pahala kebajikan yang pernah dilakukan sebelumnya dan sangat dimurkai ALLAH SWT dan orang yang sebegini akan ditempatkan di dalam api neraka Jahannam.

5. BAKHIL: Yang bermaksud sangat cintakan harta benda dan wang ringgit sehingga tidak mahu membelanjakan bagi membuat kebajikan yang dituntut oleh Islam. Manusia yang sebegini selalunya lebih gemar kepada keseronokan dunia dan sanggup membelanjakan ke jalan keseronokan dan pembaziran daripada membelanjakan ke jalan amal jariah malah berasa rugi pula sekira melakukannya.

Sekiranya ia seorang kaya tetapi harta wang ringgitnya tidak diberkati ALLAH. Manusia yang sebegini juga pada lahiriahnya nampak seperti diulit dengan kenikmatan, walhal ALLAH telah menyempitkan rasa kenikmatannya daripada nikmat yang dia ada. Begitulah balasan kepada orang yang bakhil, maka di atas dunia lagi ia telah menerima azabnya apa lagi di akhirat pula. Maksud hadith RasuluLLah SAW

“…orang bermurah hati yang jahil lebih dikasihi ALLAH daripada orang yang alim lagi abid tetapi bakhil”.

6. SUKA BERMEGAH: Suatu sifat yang sangat tercela di dalam syarak kerana orang yang suka bermegah-megah itu adalah sifatnya seperti Iblis yang megah dengan kejadiannya iaitu dari api sedangkan Adam dijadikan daripada tanah, maka Iblis ingkar untuk tunduk kepada Adam walaupun perintah itu datangnya daripada ALLAH lalu ia menjadi kafir.

Hanya ALLAH Taala Jallalahu sahaja yang berhak bermegah-megah dengan sifat KamalatNya (segala kesempurnaan) dan tidak pula bagi sekalian makhlukNya. Barangsiapa yang suka dengan kemegahan, sesungguhnya ia akan tergolong dalam golongan yang kufur laknatuLLah.

7. CINTAKAN DUNIA: Yakni orang yang kasihkan akan nikmat dunia. Sifat ini merupakan punca segala sifat kejahatan manusia yang akan membawanya kepada kebinasaan dunia dan akhirat. Di dalam sabda Nabi SAW yang maksudnya

“…habuan dan keseronokan dunia ini adalah penjara bagi orang-orang mukmin tetapi syurga bagi orang-orang kafir”.

Orang yang kasihkan nikmat dunia ini tidak menghiraukan halal haramnya sesuatu perkara itu, bagi mereka tidak ada dosa pahala akan perbuatannya asalkan matlamat menghalalkan cara. Dunia ini umpama bayang-bayang, lagi dikejar makin tak dapat.

Oleh kerana terlalu asyik dengan mengejar hal dunia lalu mereka ini sanggup meninggalkan segala yang fardhu dan sehingga ALLAH SWT menggelapkan hati mereka itu untuk membezakan diantara perkara-perkara batil dengan yang benar dan jadilah mereka ini golongan manusia yang sesat.

8. ‘UJUB/TA’ADJUB DIRI:  Sifat yang merasakan diri mereka sangat ajaib dan hebat daripada orang lain. Mereka juga mendakwa orang lain tidak selayak mereka malah orang-orang ta’adjub ini merasakan diri merekalah manusia yang serba sempurna dan sangat bongkak dengan keistimewaan mereka. Lalu mereka ini tidak tahu bersyukur di atas segala kurniaan ALLAH SWT.

Di dalam Al-Quran Al-Karim, sifat ta’adjub ini di kaitkan dengan kaum Bani Israel yang mana mereka ini sangat bangga dengan keistimewaan kaum mereka. Mereka merasakan hanya kaum Bani Israel sahaja yang layak di atas muka bumi ini dan mereka juga enggan mengerjakan segala yang diperintahkan malah mereka sanggup melakukan apa yang dilarang ALLAH SWT. Mereka ini suatu kaum yang dimurkai ALLAH SWT dan tempat yang baik bagi mereka ialah Neraka Jahannam.

9. RIYA’: suatu sifat yang suka menunjuk-nunjuk akan kebaikkan dirinya. Mereka ini suka dipuji dan disanjung, malah segala amal kebaikkan termasuklah dalam hal-hal ibadah juga mesti diketahui orang, supaya diri itu dipuji. ALLAH Azza Wa Jalla telah berfirman yang bermaksud kira-kira, mafhumnya

“maka neraka wail bagi orang-orang yang bersolat (kerana) mereka itu adalah orang-orang yang lalai dalam menyempurnakan (solat mereka) dan mereka itu juga adalah golongan yang suka menunjuk-nunjuk (dalam bawaan mereka) dan mereka itu adalah golongan yang tiada mendapat sedikit pun pertolongan (dari ALLAH di akhirat kelak).”

10. TAKABBUR: Bererti orang yang membesarkan diri mereka atau merasakan diri mereka itu lebih baik dan mulia daripada orang lain atau berasa lebih hebat dan lebih tinggi darjatnya daripada orang lain lalu menjadi sombong dan bongkak, maka orang yang sedemikianlah jenis manusia yang ALLAH SWT sangat benci dan lagi hina di akhirat nanti. Maksud sabda RasuluLLah SAW dalam hadithnya

“…tiadalah masuk syurga sampai bila-bila pun bagi orang yang di dalam hatinya berperasaan kibri atau takabbur walaupun perasaan itu setimbangnya dengan seekor semut yang kecil ataupun sebesar biji sawi”.

Hal ini adalah seiring dengan sifat ta’adjub dan riya’. Ini adalah sifat sejati Iblis laknatuLLah maka bagi manusia yang bersifat demikian, mereka inilah tergolong dalam golongan syaitan dan inilah sifat sebesar-besar maksiat dan sebesar-besar syirik yang mana tiada bayangan syurga bagi mereka malah lebih hina daripada si penyembah berhala lagi.

Merekalah golongan yang akan di siksa sepedih-pedihnya dan menjadi penghuni tetap NERAKA JAHANNAM nauzubiLLahi min zaa lik!!!

 

sumber rujukan abngah dari kitab : hidayatul as-salikin ~ syeikh abdul samad al-falimbani dan ihya ‘ulumid-Din ~ imam al-ghazali… kita hadiahkan al-fatehah buat ruh mereka. al-fatehah

note: copypaste via~flyangler~

notekaki:

“hakikatnya, kehidupan kita sentiasa dikelilingi dengan insan-insan berpewatakan seperti  ini, dan tanpa kita sedari, bahawa diri kita juga memiliki sifat-sifat yang tidak indah ini….namun, selagi kita masih bernafas dan punya masa… carilah hidayah Allah dan mohon keampunan dari yang Maha Esa..”

 

Leave a comment